VARK Dalam Surah Al-Alaq: 1-5, AlGhasyiyah: 1-20
- Mohd Azlan Adnan

- Dec 14, 2024
- 2 min read
Updated: Jun 5
VARK adalah ringkasan pada Visual, Audiotori, Read and Rite dan Kinestatik. Ia adalah satu metodologi pembelajaran manusia yang diperkenalkan oleh para sarjana pendidikan.
Asas pada ilmu adalah membaca. Ia bertepatan dengan wahyu pertama 'iqra' - Bacalah - read. Iqra' adalah satu perintah penerokaan ilmu, mengeluarkan manusia dari kejahilan kepada pengetahuan, dari kegelapan kepada cahaya petunjuk yang terang.
Tajuk penerokaan ilmu yang dibentang alQuran adalah tentang keajaiban penciptaan manusia al-Alaq: 2. Banyak rahsia terpendam di sebalik sosok tubuh dengan anatomi, skeleton, jantung, mata, telinga, otak, buah pinggang, mulut, gigi, darah, urat, rambut, kaki, tangan, jantina, kulit dan seribu satu macam anggota manusia. Hinggakan wujud puluhan bidang kepakaran tentang manusia dalam perubatan moden masa kini.
Pun begitu dalam konteks pembelajaran VARK, ayat ini juga menekankan konteks R - 'read n rite'. Membaca - al-Alaq: 1 dan menulis al-Alaq: 4 sebagai proses ilmu yang paling penting. Membaca - read juga adalah proses mengingat. Pengukuhan pada proses ilmu adalah mencatat - rite butiran maklumat yang diperolehi untuk menyempurnakan pemindahan ilmu.
Di ayat lain pula alQuran dalam Surah al-Ghasyiyah 17-20 menganjurkan penggunaan V - visualisasi terkait dengan mengkaji, memerhati,membayang, menjangka, memikirkan, menyelidik, menganalisis, menghipotesis dan lainnya.
Proses A - Audiotori juga dianjurkan dalam alQuran melalui kalimah 'afala tasma'uun - tidakkah kamu mendengar. Melalui mendengar membentuk perasaan di qolbu. Qolbu yang hidup mampu berintuisi, self talk, menganalisa dan melalui proses berfikir tersendiri.
Kajian menunjukkan terdapat 40,000 saraf menghubungkan antara qolbu dan akal manusia yang disebut sebagai 'brainheart'.
Adapun anjuran pembelajaran K - kinestatik - belajar melalui pergerakan dinyatakan lebih luas dalam alQuran dengan kalimah 'siruu' - berjalan sambil melihat dan menyaksikan - Fanzhuruu - , mengkaji seluruh alam dan perbuatan kaum yang mendustakan kebenaran.
Banyak pengajaran daripada pembelajaran kinestatik yang luas. Mengembara di seluruh penjuru dunia. Menemui pelbagai khazanah peradaban, pelbagai kelompok manusia, kehidupan, pelbagai iklim dan lautan serta pelbagai perbezaan yang menunjukkan kebesaran Allah.
Kini penerokaan bertambah mudah apabila manusia mendapat pelbagai pengetahuan terus di skrin TV melalui channel Discovery, National Geographic dibawakan oleh kajian saintis untuk manusia muslim melihat kebesaran Allah walaupun mereka tidak pernah menjejaki tempat tersebut.
Begitulah pula Allah membawakan secara 'live visual cast' tentang fenomena hari kiamat pada ayat 1-16 dalam surah alGhasyiyah pada muslim mukmin muttaqi - tekuni sedalamnya - untuk mengambil sebanyak-banyak ibrah - pengajaran dan istifadah - faedah - memandu kehidupan di dunia menuju akhirat yang abadi.
Manusia terbaik membaca keseluruhan penciptaan Allah dengan menggunakan 'ain bashiroh' - mata hati. Afalaa tubshiruun - tidakkah kamu melihat. Kecelikkan imaniyyah yang disulam dengan tauhid. Kompetensi belajar ini tak disebut oleh psikologi kontemporari.



Comments